Tuesday, March 16, 2010

ANGIN KENCANG DI TAMAN MEDAN

Bumbung rosak akibat angin kencang PETALING JAYA SELATAN – Dua bumbung rumah di sini rosak akibat diterbangkan angin kencang dalam dua kejadian berasingan di sini, kelmarin. Kejadian pertama berlaku di Jalan PJS2C/20, Taman Datuk Harun kira-kira 5.30 petang.

Mangsa, Zubaidah Mohd Yusof, 65, berkata, ketika kejadian dia baru pulang daripada menghadiri majlis perkahwinan di sini. Katanya, semasa angin kencang diikuti hujan lebat melanda kawasan itu, dia mendengar bunyi dentuman sebelum menyedari bumbung rumahnya diterbangkan angin.

“Pada masa itu, saya baru sampai di rumah. Selepas mendengar bunyi dentuman itu saya berasa cemas tetapi tidak panik. “Kejadian berlaku amat pantas, namun saya bersyukur tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Difahamkan, semasa kejadian hanya Zubaidah berada di rumah manakala suaminya tiada di tempat kejadian kerana pulang ke kampung. Sementara itu, kejadian kedua berlaku di Jalan 2D/14, Taman Medan. Mangsa, Rahmat Yunan, 68, berkata, ketika kejadian, dia bersama sembilan ahli keluarga yang lain berada di dalam rumah. Menurutnya, kejadian berlaku amat pantas, namun bersyukur kesemua ahli keluarganya selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pada masa itu angin amat kencang dan saya dapat rasakan ia seolah-olah puting beliung. “Situasi semakin kelam kabut apabila bumbung rumah saya tercabut diterbangkan angin kencang,” katanya. Menurutnya, kejadian itu merupakan kali pertama dialaminya sejak menduduki kawasan tersebut 26 tahun lalu.

No comments: