Thursday, April 1, 2010

Al-Ghazali seperti limpahan air

Al-Ghazali seperti limpahan air
Abdul Rahim Sabri Feb 20, 10 4:50pm

Walaupun Ibn Rushd menyentuh empat mazhab kalam dalam tulisannya, saya hanya menumpukan kepada kritikannya terhadap aliran al-Asya'irah yang dibawa oleh Imam al-Juwaini dan al-Ghazali.Seperti yang dinyatakan dalam kitabnya, secara tidak langsung Ibn Rushd menolak pandangan Muktazilah, walaupun karya tokoh dari kumpulan tersebut tidak sampai ke Andalusia.

Ini kerana metodologi Asya'irah dan Muktazilah hampir sama antara satu sama lain.Secara ringkasnya, metodologi penting mazhab Asya'irah berhubung penjelasan mereka tentang ‘kebaharuan alam' dengan membina kaedah perkara itu melalui "penyusunan jisim-jisim dari juzuk-juzuk yang tidak boleh dipisah-pisahkan" (tarkib al-Ajsam min ajzak la tatajazzak) atau dikenali sebagai al-Jauhar al-Fardi.Ibn Rushd menyatakan kaedah tersebut tidak rasional sehingga sukar orang awam atau ahli falsafah (ulama) untuk memahami pemikiran mereka.

Ibn Rushd juga turut mengkritik fahaman "membandingkan jisim di langit dengan jisim di bumi" yang selalu digunakan kumpulan tersebut. Katanya untuk menghukum sesuatu fenomena yang baharu mestilah dengan sesuatu yang dirasai dengan panca indera.Jika tidak, maka haruslah meneliti pergerakan fenomena di langit kerana ia mempunyai hubungan langsung di bumi."[...]Jika kita lihat penghujahan mereka tentang kebaharuan semua fenomena (al-A'radh) dengan melakukan kiasan di alam nyata dengan tidak nyata, merupakan satu dalil retorik."Kecuali perpindahan itu adalah rasional dengan sendirinya.

Hal ini terjadi ketika kita meyakini adanya persamaan tabii pada antara alam nyata dan alam ghaib," kata Ibn RushdBagi mengenalpasti tujuan mengetahui hakikat kewujudan Allah SWT melalui hakikat penciptaan bagi menolak al-Asya'irah, Ibn Rushd telah mengemukakan dua bentuk dalil dalam Al-Quran iaitu dalil pemeliharaan (‘inayah) dan dalil inovasi (ikhtira').Dalil pemeliharaan merupakan satu dalil pemeliharaan manusia dan makhluk ciptaan untuk kepentingan manusia. Ia terbentuk atas dua premis, iaitu semua benda yang wujud menepati (muwafaqah) dengan eksistensi manusia.Kedua, ketepatan itu satu keperluan dari sudut pelaku yang berkehendak. Ini kerana tidak mungkin ketepatan itu terjadi secara kebetulan.

Manakala dalil inovasi pula terbentuk atas dua premis iaitu setiap benda atau perkara adalah satu penciptaan. Dan kedua, setiap penciptaan mempunyai penciptanya."Dengan ini wajib ke atas sesiapa yang mahu untuk mengenali Allah supaya mengetahui substansi akan sesuatu (jawahir al-ashya') yang menepati hakikat inovasi pada setiap benda atau perkara yang wujud."Ini kerana sekiranya tidak memahami hakikat sesuatu, maka seseorang itu tidak mengetahui hakikat penciptaan. Ini telah diisyaratkan oleh Allah melalui firmannya:"Patutkah mereka (membutakan mata) tidak mahu memperhatikan alam langit dan bumi dan segala yang dicipta oleh Allah" - Al-A'raaf: 185Dalam kitab ini juga Ibn Rushd juga menyebut nama Imam al-Juwaini beberapa kali.

Pemikir Islam kontemporari Mohamad Abid Al-Jabiri menjelaskan, tujuannya kerana al-Juwaini - yang juga guru kepada al-Ghazali - menyifatkan dirinya sebagai "subjek awal" yang cuba menyelesaikan masalah akidah yang dimaksudkan dalam metodologi kalam Asya'ari.Kemudian datang al-Ghazali menyempurnakan projek itu - seperti ungkapan Ibn Rushd dalam kitab ini: "Fatom al-Wadi ‘ala al-Qura" (limpahan air dari lembah yang menenggelamkan segenap kampung).Ini kerana beliau mengisytiharkan dan mentakwil falsafah dan pandangan ahli falsafah secara keseluruhan kepada umum mengikut apa yang difahaminya.

Hal ini terdapat dalam beberapa karya al-Ghazali antaranya Maqasid al-Falasifah yang menolak pandangan ahli falsafah sebelum itu, antaranya Ibn Sina dalam Tahafut al-Falasifah yang mengkafirkan golongan tersebut dengan hujah-hujah yang mengelirukan sehingga merancukan pemikiran umum tentang falsafah dan syariah."Maka disebabkan kecelaruan bercampur baur menyebabkan masyarakat umum terpecah kepada dua kumpulan, iaitu yang mengharuskan celaan kepada falsafah dan ahli falsafah dan kumpulan yang mengharuskan takwil dan berpaling daripada falsafah," kata Ibn Rushd dalam kitabnya itu.




Ibn Rushd: Zahir teks untuk masyarakat
Abdul Rahim Sabri Jan 26, 10 11:20pm

Dalam tulisan sebelum ini, saya menjelaskan latar belakang dan kehadiran karya agung Ibn Rushd, Al-Kashfu ‘an Manahij al-Adillah fi ‘Aqaid al-Millah sebagai mengkritik mazhab teologi al-Asya’irah dan al-Ghazali yang rancu tentang Allah, sifat-sifat dan perbuatan-Nya.Tulisan kali ini bertujuan melihat sisi kritikan tersebut mengikut setiap bab yang terkandung dalam karya yang saya terjemahkan sebagai "Penyingkapan Metod Demonstratif terhadap Akidah Mazhab Kalam dalam Islam". Karya ini telah dilupakan oleh umat Islam dalam tradisi pengajian falsafah Islam. Secara khususnya, buku ini mempunyai tiga bab utama, yang kemudiannya dipecahkan kepada beberapa fasal tertentu.

Bab pertama buku ini, failasuf Cordova itu cuba menganalisis dan mengkritik pandangan serta pemikiran beberapa kumpulan yang hadir di zamannya iaitu Al-Hasyawiyah, al-Asya’irah, Muktazilah, serta Batiniyyah (sufi).Pada asasnya, bab pertama dalam buku ini membicarakan tentang bagaimana pembuktian kewujudan Allah dengan mengetengahkan doktrin mazhab tersebut, seterusnya membuat kritikan dan meluruskan pandangan mereka.Manakala bab yang kedua pula, Ibn Rushd – atau lebih dikenali Averroes – membahaskan tentang tentang sifat-sifat Allah termasuk pembahagian serta dan hubung kait antara sifat dengan zat-Nya.Sementara bab ketiga pula, tokoh rasionalis Islam itu membincangkan tentang perbuatan-perbuatan Allah, antaranya mengenai persoalan kebaharuan alam, persoalan sebab akibat dan persoalan qada’ dan qadar.

Sebelum saya meneruskan perbahasan dengan lebih lanjut, harus dicermati bahawa Ibn Rushd tidak pernah mengabaikan matlamatnya menulis, meringkas, memberi komentar atau mentafsir setiap buku yang ditulisnya.Maksudnya, sebelum beliau membahaskan secara terperinci mengenai mazhab tersebut, beliau terlebih dahulu menjelaskan tujuan atau motif penulisan kitab ini (dan juga kitab-kitabnya yang lain).Tidak kira sama ada dalam bidang falsafah, fiqh, metafizik, perubatan, bahasa Arab atau logik (mantiq), yang ditulis dalam bentuk talkhis, mukhtasar, jawami’ atau syarah kabir, beliau menerangkan hadaf itu pada permulaan kitab tersebut.

Di situlah terletaknya kepentingan atau isi pokok perbahasan yang ingin dibahasnya.Penjelasan empat perenggan pada permulaan kitab ini diteliti dan cermati, saya dapati beliau meluncur satu teori umum yang menjadi tulang belakang dan bagi menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh empat kumpulan yang saya sebutkan tadi. Teori itu ialah: "al-zahir min al-'aqaid allati qasada al-syar’u hamala al-jumhur ‘alaiha wa nataharra fi zalika kullihi maqsid al-syaari’, Salllahu ‘Alaihi Wasalam bi hasabi al-juhd wa al-istito’ah."Yang bermaksud "meneliti aspek zahir teks mengenai prinsip akidah yang dimaksudkan oleh syara’ untuk diketengahkan dalam masyarakat umum dan kami meneliti semuanya mengikut tujuan pembuat syariat, Salllahu ‘Alaihi Wasalam berdasarkan kesungguhan dan kemampuan".

"Oleh kerana masyarakat umum berasa bimbang dengan pengertian akidah ini dalam syariat sehingga lahir kumpulan yang sesat dan pelbagai puak."Setiap kumpulan tersebut mengakui bahawa mereka berada di atas syariat pertama (syariat di zaman Nabi SAW dan sahabat) dan mendakwa kumpulan yang tidak bersetuju (dengan cara mereka) sebagai kumpulan pembuat bid’ah atau kafir, (maka) harus akan darah dan harta mereka," katanya (perenggan tiga).Menurut Ibn Rushd, tindakan ini disebabkan terpesongnya mereka daripada maksud Rasulullah SAW sebagai pembuat syariat dan kesesatan mereka dalam memahami tujuan syariat (maqsid al-syariah).

Mereka berpaling daripada lafaz zahir syara’ kepada pelbagai takwilan yang didakwa daripada syariat yang pertama untuk masyarakat umum. "Apabila diteliti kesemuanya (hujah) dan diperhati tujuan-tujuan syariah jelaslah bahawa kesemuanya itu adalah ‘pandangan yang baharu’ dan ‘takwilan yang bid’ah," kata Ibn Rushd (perenggan 4).Seorang pemikir Islam kontemporari Mohamad Abid Al-Jabiri dalam pengantar kitab ini berkata yang dimaksudkan dengan syara’ di sini pada pandangan failasuf Cordova itu: melakukan “"enyiasatan dan pembuktian secara ‘demonstratif rasional’ daripada ayat-ayat al-Quran dan terhenti pada zahir teksnya serta tidak berlebihan dalam membuat pentakwilan".

No comments: