Sunday, June 6, 2010

Jais ambil serius isu lesen judi bola sepak

Jais ambil serius isu lesen judi bola sepak

SHAH ALAM- Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memandang serius isu pemberian lesen judi bola sepak kerana termaktub dalam hukum Islam bahawa judi itu haram dan perlu dibanteras.

Pengarahnya, Datuk Mohamed Khusri Munawi berkata, isu judi bukanlah isu Jais semata-mata sebaliknya ia adalah isu negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kenapa Khalid Samad bangkitkan isu judi bola ini? Bagaimana pula dengan isu judi nombor ekor dan toto adakah ia halal di sisi Islam? Kenapa baru sekarang ingin membuat demonstrasi? Adalah beliau (Khalid) bersetuju dengan judi nombor ekor dan toto?

“Di sini dimaklumkan bahawa lesen premis judi bukan dikeluarkan oleh Jais sebaliknya ia dikeluarkan oleh PBT. Jadi, kenapa Khalid tidak membuat usul supaya semua judi yang ada diharamkan di Selangor,” katanya dalam kenyataan media kepada Sinar Harian, semalam.

Rabu lalu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menggesa Kerajaan Negeri supaya mengkaji semula kedudukan Khusrin kerana didakwa ‘menyepi’ dalam isu pemberian lesen judi sukan.

Khalid berkata, tindakan itu bercanggah dengan sikap jabatan itu sebelum ini yang ‘tegas’ dalam isu penggunaan masjid sebagai pentas politik dan juga berhubung penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam malah turut mempersoalkan tindakan Mohamed Khusrin sebagai tanda kesetiaan kepada pemimpin UMNO.

Mengulas mengenai kenyataan itu, Mohamed Khusrin menyangkal dakwaan tersebut malah menganggap ahli parlimen itu seolah-olah ingin mengaitkan isu peribadi.

“Saya ingin bertanya kepada beliau, isu judi ini adalah isu nasional. Kenapa ingin dikaitkan dengan isu peribadi? Ingin ditegaskan untuk sekian kalinya, Pengarah Jais bukan UMNO, bukan Pas dan bukan PKR, tetapi seorang Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) yang berkhidmat secara profesional berlandaskan undang-undang dan enakmen yang diluluskan di bawah kawalan Jais,” katanya.

Katanya, Jais tidak akan bertolak ansur dan akan mengambil tindakan tegas berkaitan dengan perjudian ini jika terdapat sebarang aduan yang berkaitan dengan mereka yang terlibat dalam aktiviti perjudian ini.

“Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 di bawah seksyen 17 (1) boleh mengambil tindakan ke atas ‘mana-mana orang yang berjudi atau didapati berada di rumah judi adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya’

No comments: