Thursday, February 4, 2010

Buletin MBPJ


Buletin MBPJ medium salur maklumat

JALAN YONG SHOOK LIN - Mulai bulan ini, penduduk di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan mendapat maklumat dan perkembangan terkini mengenai pihak berkuasa tempatan itu serta kawasan kediaman mereka menerusi buletin keluaran MBPJ.


Datuk Bandar, Datuk Mohamad Roslan Sakiman berkata, bahan penerbitan itu akan turut menyiarkan pelbagai perkhidmatan yang dilaksanakan kepada penduduk dan mengenal pasti sebarang masalah yang dihadapi. Katanya, Buletin Warkah MBPJ diperkenalkan untuk menyebarkan maklumat kepada masyarakat sekitar bandar raya ini, selain memaklumkan mengenai dasar MBPJ kepada umum.


“Kita akan perkenalkan Warkah MBPJ bermula bulan ini dan ia akan menjadi buletin bulanan kepada penduduk sekitar bandar raya ini. “Kita lihat penerbitan ini dapat merapatkan hubungan MBPJ dengan masyarakat. Dengan adanya buletin ini juga, penduduk dapat mengetahui sebarang aktiviti yang dibuat di sini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penuh MBPJ, di Ibu Pejabat MBPJ di sini.


Mohamad Roslan berkata, Buletin MBPJ akan dihantar ke peti surat semua penduduk sebagai buletin bulanan yang harus dibaca. Sementara itu katanya, kajian mengenai keberkesanan sistem pen-yampaian perkhidmatan Majlis akan dilaksanakan untuk mendapat maklum balas pelanggan terhadap semua perkhidmatan MBPJ selama ini. “Kami tidak mahu berasa puas walaupun menerima pelbagai pengiktirafan sepanjang tahun lalu. “Masih banyak ruang untuk MBPJ menjadi lebih proaktif bagi memenuhi keperluan masyarakat,” katanya.

No comments: