Wednesday, May 5, 2010

MANSUHKAN TOL TAMAN MEDAN

Mansuhkan tol Taman Medan

PETALING JAYA SELATAN – Masalah kesesakan lalu lintas terutamanya pada waktu puncak di Taman Medan akibat kemasukan kenderaan luar terutamanya pengguna Lebuhraya New Pantai Expressway (NPE) berikutan jalan pintas tidak bayaran tol.

Selain itu, timbul rungutan berhubung isu keselamatan terutamanya kepada golongan kanak-kanak memandangkan laluan itu turut digunakan kenderaan berat seperti bas dan lori.

Tinjauan Sinar Harian di sini, semalam mendapati, penduduk terutamanya berhampiran Jalan Besar Taman Medan mahu tol terbabit dihapuskan kerana ia mengundang pelbagai implikasi kepada penduduk kampung terbabit.

Peniaga, Azizah Abdul Mutalib, 49, berkata, kesesakan lalu lintas terutamanya di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Medan dan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Medan menimbulkan kebimbangan ibu bapa.

Katanya, risiko berlakunya kemalangan amat tinggi di kawasan itu berikutan ada kenderaan luar dipandu laju dari arah laluan NPE apabila memasuki kawasan kampung tersebut.

“Tiap kali waktu puncak, keadaan lalu lintas di sini menjadi semakin teruk berikutan sikap pengguna NPE yang menjadikan kampung ini sebagai laluan pintas semata-mata mahu mengelak bayaran tol.

“Selain itu, kenderaan berat seperti lori turut melalui kawasan ini sekali gus menyebabkan masalah lain seperti habuk mengotori persekitaran serta menjejaskan kesihatan penduduk,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini semalam.

Suri rumah, Umi Kalthom Khalid, 44, berkongsi pendapat yang sama.

Ibu kepada enam anak itu amat bimbang terhadap keselamatan anaknya memandangkan jarak rumahnya dengan Jalan Besar Taman Medan kurang 30 meter.

“Semua ibu bapa dan penduduk amat bimbang akan keselamatan anak mereka tambahan pula lalu ini turut digunakan kenderaan berat.

“Jika tol itu tidak ada, saya fikir masalah seperti kesesakan lalu lintas dan isu keselamatan pejalan kaki di sini tidak timbul sama sekali,” katanya.

Sementara itu, Mansor Ujang, 44, pula mengadu rumahnya mengalami keretakan berikutan jalan di hadapan rumahnya digunakan kenderaan berat.

“Bukan saya seorang sahaja yang mengalami masalah ini, malah boleh dikatakan semua pemilik rumah yang berhadapan dengan Jalan Besar Taman Medan mengalami masalah serupa,” katanya.

No comments: