Tuesday, May 25, 2010

Hudud Terengganu - Kesinambungan Kanun Melaka & Kesultanan Islam

Siri 1: Hukum Hudud Terengganu- Batu bersurat.
Oleh Ustaz Saiful Bahri

Perkembangan politik semasa, mendorong minat saya untuk menggarap semula kefahaman kepada masyarakat khususnya umat Islam termasuklah generasi muda untuk menekuni dan memahami apa yang menjadi teras dan prinsip negeri atau Negara yang ingin dicapai oleh seorang pejuang harakah Islamiyyah.

Sebuah Negara yang aman, makmur dan Allah meredhainya selari dengan apa yang difirmankan Allah Swt sebagai

(Negeri yang baik dan (Tuhanmu) adalah Tuhan yang Maha Pengampun". (Surah Saba: 15)


Tanggungjawab khilafah yang ditinggalkan sejak Nabi Adam a.s dan diteruskan oleh nabi-nabi terdahulu yang akhirnya dikhatamkan oleh baginda Rasulullah Saw berhijrah ke Madinah dan mewujud Negara Islam Madinah dengan piagamnya yang tersendiri. Pemerintahan yang berkembang sehingga dua pertiga dunia mengecapi nikmat dan keadilan Islam. Setelah generasi demi generasi kekhalifahan akhirnya ia berakhir apabila tumbangnya khalifah Uthmaniyyah Turki pada tahun 1924.

Dan menjadi tugasan kita untuk mengembalikan semula tanggungjawab khilafah yang ditinggalkan dengan mendirikan pemerintahan Islam yang tertegak didalamnya hukum hakam Islam berdasarkan al-Quran dan Sunnah Rasulullah Saw.

Diatas permintaan beberapa sahabat dan teman alam maya yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang konsep Negara Islam dan undang-undang Islam yang ingin ditegakkan dalam mengembalikan kegemilangan Islam. Memandangkan Pas pernah memerintah Terengganu Darul Iman pada tahun 1999-2004 dan bukan setakat mengemukakan draf tetapi meluluskan dan mewartakan undung-undang tubuh negeri Terengganu Darul Iman dengan meletakkan rujukan yang tertinggi iaitu al-Quran, Hadis, Ijma’ & Qiyas yang juga merupakan rujukan tertinggi dalam perlembagaan Pas.

Inilah antara kejayaan besar dalam perjuangan yang melepaskan ikatan jahiliyyah yang dirantai dan dikunci oleh perlembagaan Lord reid semenjak merdeka dan diikat sama sebagai pusaka warisan oleh UMNO-BN.

Begitu juga pemwartaan rang undang-undang kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M setelah ditanda-tangani oleh Tuanku Sultan Terengganu setelah ia diluluskan didalam sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu pada 7 Julai 2002 yang dibentangkan oleh DS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan disokong oleh penulis sendiri yang ketika itu sebagai Adun Paka. Kerana itu adalah wajar untuk kita renung kembali dan hayati semula supaya pencerahan dapat dibuat atas segala fitnah dan tohmahan yang dilakukan atas undang-undang hudud dan qisas itu. Tuduhan ianya sebagai hudud Pas dan bukan hudud sebenar. Hudud Pilihanraya.

Kelulusan yang tergesa-gesa dan gopoh. Hudud adalah punca kekalahan Pas Terengganu. Ia menakutkan Bukan Islam. Hudud bertentangan dengan Hak asasi Manusia (HAM) dan sebagainya sehingga adanya pandangan “Jangan bercakap isu Islam, Negara Islam dan Undang-undang Islam kerana ianya tidak releven”… dan belbagai lagi.

Tapi kini ia mungkin berbaza. Diharapkan orang melayu serta umat Islam lebih berlapang dada selepas ini setelah orang cina dan bukan Islam Sibu lebih terbuka dalam menanggapi isu-isu Pas dan Negara Islam ini.

Penulis akan menyusun beberapa siri agar ia lebih memudahkan kefahaman kita dan dirasakan perlu kerana kaitan dengan pelaksanaan syariah di Terengganu. Antaranya mengenai sejarah Terengganu dan Islam, Undang-undang tubuh negeri Terengganu, Pindaan undang-undang tubuh negeri Terengganu, Draf & Rang enakmen Hudud-Qisas Terengganu. Isu-isu berbangkit serta jenayah UMNO-BN Terengganu dalam isu undang-undang & pengkhianatan perlembagaan Terengganu.

KEDATANGAN ISLAM KE TERENGGANU .

Pada 22 Februari 2003 lalu, Kerajaan pimpinan Pas Terengganu telah mengadakan sambutan besar-besaran sempena genapnya usia kedatangan Islam di Terengganu selama 700 tahun berdasarkan tarikh/tanggal yang tercatat di Batu Bersurat yang ditemui di Hulu Terengganu. Penemuan Batu Bersurat itu merakamkan betapa Islam telah ada di Terengganu sebelum 22 Februari 1303 telah mengubah sejarah awal yang menyebut bahawa Islam mula tiba di Malaysia melalui Melaka dalam tahun 1409 Masihi. Hampir semua buku sejarah mengatakan bahawa Islam di negara ini bermula di Melaka tetapi penemuan Batu Bersurat itu menyebut bahawa Islam tiba melalui Terengganu 100 tahun lebih awal iaitu 22 Februari 1303.

Batu bersurat ini merupakan batu yang mempunyai ukiran yang paling tua dan tulisan Jawi pertama ditemui di Malaysia. Batu ini ditemui separuh tenggelam selepas banjir surut di tebing Sungai Tersat di Kuala Berang, Hulu Terengganu pada tahun 1899. Pada Batu Bersurat Terengganu terdapat pula catatan nama Raja Mandalika yang telah memerintah dan melaksanakan syariat Islam.Isi teks batu bersurat ini mengenai undang-undang seorang raja. Catatan yang terkandung pada batu ini menyebut Islam sebagai agama rasmi dan menerangkan hukum-hukum Islam tentang maksiat dan segala kemungkaran. Peri pentingnya Batu bersurat ini akhirnya ia mengambil tapak dibulatan penyu sebagai tanda sejarah kedatangan Islam di Terengganu. Ianya juga cadangan penulis sendiri dalam sidang dewan undangan supaya mengalihkan patung penyu yang bersifat dan digantikan dengan tanda kedatangan Islam ke Terengganu itu. Ia pernah menjadi isu politik UMNO-BN dengan patung penyu ini yang amat dipertahankan oleh puak-puak UMNO-BN.

Cuba teliti catatan yang termaktub di batu bersurat tersebut.

Muka pertama


1. RasululLah dengan yang arwah santabi mereka

2. Asa pada Dewata Mulia Raya beri hamba meneguhkan Agama Islam

3. Dengan benar bicara derma mereka bagi sekalian hamba Dewata Mulia Raya

4. Di Benuaku ini penentu agama RasululLah sallallahi wassalama raja.

5. Mandalika yang benar bicara sebelah Dewata Mulia Raya di dalam

6. Bumi penentu itu fardhu pada sekalian Raja Manda.

7. Lika Islam menurut setitah Dewata Mulia Raya dengan benar.

8. Bicara berbajiki benua penentuan itu maka titah Seri Paduka.

9. Tuhan menduduki Tamra ini di Benua Terengganu adi pertama ada.

10. Jumaat di bulan Rajab di tahun saratan disasanakala.

11. Baginda RasululLah telah lalu tujuh ratus tua.

Muka kedua

1. Keluarga di Benua jauh kan

2. Datang berikan.keempat orang berpiutang.

3. Jangan mengambil....(a)mbil hilangkanemas.

4. Kelima derma barang orang....(mar)dika.

5. Jangan mengmbil tugas buat temasnya.

6. Jika ia ambil hilangkan emas.Keenam derma barang.

7. Orang berbuat bala cara laki-laki perempuan satitah.

8. Dewata Mulia Raya jika merdeka bujang palu.

9. Seratus ratun jika merdeka beristeri.

10. Atawa perempuan bersuami ditanam hinggakan.

11. Pinggang dihambalang dengan batu matikan.

12. Jika inkar (bala cara) hambalang jika anak mandalika.....

Muka ketiga

1. Bujang dandanya sepuluh tengan tiga jika ia.........

2. Menteri Bujang dandanya tujuh tahil se (paha)....

3. Tengah tiga, jika tetua bujang dandanya lima (tahil....

4. Tujuh tahil sepaha masuk bandara, jika O (rang).....

5. Merdeka. Ketujuh derma barang perempuaan hendaak..........

6. Tiada dapat bersuami, jika ia berbuat balabicara..............

Muka keempat

1. ..........tiada benar dendanya setahil sepaha kesembilan derma.

2. ..........Seri Paduka Tuhan (Tuan) siapa tiada harta dendanya.

3. ..........Ke sepuluh derma jika anakku, atawa pemaainku atawa cucuku atawa keluarga ku atawa anak.

4. ..........tamra ini segala isi tamra barang siapa tiada menurut tamra ini laknat Dewata Mulia raya.

5. ...........di jadikan Dewata Mulia Raya bagi yang langgar acara tamra ini.

Teks pada batu bersurat ini ada menyatakan mengenai tarikh ia ditulis, iaitu "Jumaat di bulan Rejab di tahun saratan di sasanakala Baginda Rasulullah telah lalu tujuh ratus dua". Menurut kajian yang dilakukan oleh Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, tarikh bagi batu bersurat ini ialah Jumaat, 4 Rejab 702 H, bersamaan dengan 22 Februari 1303M. Ia juga secara jelas mewartakan undang-undang jenayah Islam yang diterima-pakai oleh pemerintah Terengganu ketika itu.

Ini bermakna Negeri Terengganu telah terbukti menegakkan hukum syariah sejak 7 abad yang lalu dan antara yang terawal di Malaysia. Seterusnya Di Terengganu, Undang-undang Jenayah Islam telah dilaksanakan khususnya semasa Sultan Zainal Abidin III (1881-1918). Pada masa itu terdapat beberapa mahkamah yang membolehkan menjatuhkan hukuman mengikut Undang-undang Islam.

Siri 2: Hudud Terengganu - Kesinambungan Kanun Melaka & Kesultanan Islam

Kedatangan Islam ke Tanah Melayu telah membawa kepada penubuhan Kesultanan Melayu yang menggantikan sistem pemerintahan hindu sebelumnya. Sejarah membuktikan kesultanan Islam awal seperti Kesultanan Kedah telah bermula 531H/ 1136M. Kesultanan Kelantan bertapak pada tahun 577H/ 1181M dan sudah bermulanya pentadbiran dan undang-undang Islam di Rantau Melayu ini.

Selain peraturan Islam yang tercatat di batu Bersurat Terengganu pada 702H/1303M, Kerajaan Melaka telah menggubal undang-undangnya sendiri yang berasaskann undang-undang Islam yang dikenali sebagai Risalah Hukum Qanun. Ia dikuat-kuasakan di Melaka. Qanun ini ditulis pada zaman pemerintahan Sultan MUzaffar Syah (1446-1456) dan ianya dilengkapkan oleh Hang Sidi Ahmad dizaman pemerintahan Sultan Melaka terakhir (1488-1511). Dalam masa yang sama Undang-undang Laut juga digubal yang menyentuh tentang peraturan pelabuhan, pelayaran di laut dan percukaian..
Hukum kanun Melaka meliputi bidang yang luas termasuklah jenayah, mu’amalah, keluarga, acara, keterangan, adab alqadi dan undang-undang pentadbiran dan pemerintahan. Hukuman keseksaan pula berdasarkan kepada bentuk hudud, qisas, diat dan ta’zir. Menurut beberapa orang pengkaji barat, seperti William R. Roff dan Alfred R. Rubin bahawa Undang-undang Melaka itu pada dasarnya berasaskan Undang-undang Islam di samping Hukum Akal dan Hukum Adat. Pendapat mereka ini adalah menepati kenyataan yang terdapat di dalam qanun tersebut; “Mengikut hukum Allah, pada hukum Allah, menurut dalil AlQuran dan menurut amar bil ma’ruf wa nahi munkar”.

Berdasarkan kepada teks Hukum Qanun Melaka yang diselenggarakan oleh Dr Ph. S. Rankel mengandungi 27 fasal , Kitab Undang-undang Melaka dari Muzium British mengandungi 44 fasal dan setelah diteliti dan dikaji Undang-undang Melaka, dapatlah disimpulkan bahawa , Undang-undang Qanun Melaka ini adalah pada keseluruhannya berdasarkan Undang-undang Islam menurut Mazhab Syafie.

Contoh nas - nas qanun tersebut adalah seperti berikut:-Fasal - fasal berikut :5.1 Hukum membunuh secara sengaja maka dibunuh balas5.7 Hukum yang mencuri tiada harus dibunuh melainkan dipotong tangan12.3 Hukum qazaf disebat lapan puluh kali36 Hukum bagi si murtad iaitu diminta taubat selama tiga hari , jika enggan dihukum bunuh.Penasihat kehakiman dan pentadbiran kepada sultan ketika itu adalah ulama yang digelar para qadi. Yang terkenal seperti Qadi Amir Sa’id dari Syiraz, Kadi Tajuddin dari Isfahan, Kadi Amir Dawlasa dari Delhi. Ulama setempat seperti Qadi Yusof, Qadi Menua dan Qadi Menawar Syah.

Apabila kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada 1511M, undang-undang dan peraturan Islam ini masih diteruskan pemakaiannya oleh Kesultanan Melayu di negeri-negeri lain. Ia digubal di negeri masing-masing seperti Qanun Pahang (1596M), di Kedah dengan Tembera Dato Seri Paduka Tuan (1078H/ 1667M), Undang-undang 99 dan 12 di Perak. Hukum Qanun Dato Setar (1099H/ 1784M), Qanun Johor (1789M), Qanun Kelantan 1168H. Di Terengganu ia diguna pakai semenjak kesultanan pertama Terengganu yang mencatatkan nama Sultan Zainal Abidin 1 (1708-1733) pada tahun 1120 hijrah (bersamaan tahun 1708) sehinggalah undang-undang Islam itu diperkukuhkan pada tahun 1911M iaitu dengan penggubalan Undang-undang diri Terengganu.

Sistem pentadbiran undang-undang Islam di Tanah Melayu sudah sofistikated dan tersusun kemas mengikut institusi pemerintahan di Timur Tengah. Ia telah matang sebelum kedatangan British. Beberapa orang Qadi telah dilantik secara formal bagi menguruskan pentadbiran kekeluargaan. Mereka mempunyai bidang kuasa membicarakan kes-kes melibatkan keluarga dan rumah-tangga serta beberapa kesalahan Islam di “Mahkamah Syariah”.

Para hakim juga dilantik yang mempunyai bidang kuasa bagi membicarakan kes-kes jenayah bagi mahkamah jenayah negeri yang dikenali “Mahkamah Adat” yang berlandaskan undang-undang Islam dan adat tempatan. Kes rayuan dari dua mahkamah ini diangkat kepada Sultan dan di bantu oleh mufti dan dibicarakan di “Mahkamah Balai”. Jawatan Syaikhul Islam atau mufti serta dibantu oleh qadi. Mufti yang boleh memberikan fatwa dan menasihati sultan khususnya melibatkan kes ulang-bicara di Mahkamah Balai. Mufti merupakan ketua eksekutif kehakiman dan pentadbiran agama sebelum kedatangan British.

Khatib dan bilal berperanan untuk menguat-kuasakan undang-undang Islam disetiap mukim dan daerah dan disamping berkuasa memungut zakat. Penghulu, penggawa dan hulubalang adalah antara penguatkuasa undang-undang Islam.

Di Terengganu, Mahkamah Balai yang menjadikan undang-undang Islam sebagai rujukan telah mula diwujudkan sejak pemerintahan Baginda Sultan Omar (1839-1875M)lagi. Negeri Terengganu mula mencapai zaman kegemilangan apabila berada di bawah pemerintahan Sultan Omar Apabila Baginda Omar mangkat, takhta kerajaan Terengganu diduduki oleh Sultan Ahmad Shah II (1876–1881). Sultan Ahmad Shah pula digantikan oleh putera baginda, Sultan Zainal Abidin III (1881–1918).

Ketika pemerintahan baginda, undang-undang Islam dikuatkuasakan sepenuhnya. Negeri Terengganu ketika itu tergolong dalam senarai Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu. Oleh sebab itu, tidak wujud satu pusat pemerintahan sebagaimana Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang negeri-negeri tersebut bergabung dan diletakkan di bawah satu pusat pentadbiran. Tetapi bagi Terengganu, ia bebas, merdeka dan Sultan serta para pembesarnya pula berkuasa penuh dalam hal ehwal pentadbiran negerinya.

Sultan Zainal Abidin III mentadbir negeri Terengganu berasaskan hukum Islam kerana baginda sendiri terkenal sebagai seorang yang kuat berpegang kepada ajaran agama Islam. J. de Vere Allen pernah menghuraikan cara Sultan Zainal Abidin III menjatuhkan hukuman. Dalam kes-kes jenayah, keterangan daripada dua pihak didengar oleh baginda tetapi akhirnya dirujukkan kepada al-Quran untuk mendapatkan satu keputusan menjalankan hukuman itu.

Jenis-jenis hukuman yang mungkin dikenakan ialah mati, penjara, denda dera dan kalau berlaku kesalahan zina, perempuan yang bersalah itu akan ditanam setakat pinggang di halaman pasar untuk satu hari, orang ramai diizinkan merejam pesalah itu dengan batu. Hukuman dera dikhaskan untuk pesalah-pesalah muda dan kadang-kadang perempuan. Deraan dikenakan di bahagian punggung tanpa membuang pakaian. Jumlah yang mati dihukum dalam masa 27 tahun pemerintahan baginda ialah hanya 5 orang. Kejayaan ini disebabkan keinginan daripada golongan pemerintah dan kegigihan para ulama sehingga timbul kesedaran dan keyakinan rakyat terhadap kesempurnaan dan keadilan hukum Allah.

Tok guru-tok guru dijadikan rujukan seperti Tok Syeikh Duyung (Syeikh al-Ulama) yang menjadi Mufti Negeri dan Tok Ku Paloh (Syed Abdul Rahman) yang menjadi menteri dan juga penasihat khas kepada baginda. Di samping itu, baginda juga berpegang kuat kepada ibadat dan amalan keagamaan. Menurut M. C. ff. Sheppard, baginda digambarkan sebagai “not only attend the chief mosque in person but never missed the five hours of prayer and enforced a similar observance on his people.”

Hubungan alim ulama dengan pihak Sultan menyebabkan sukar bagi pihak Inggeris untuk mencampuri hal ehwal politik negeri Terengganu berbanding dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Tanah Melayu

British beberapa kali cuba melibatkan diri dalam kerajaan Terengganu. Pada tahun 1911, Sultan Zainal Abidin III meluluskan "Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu" yang di antara lain menyatakan Sultan Yang DiPertuan Besar Terengganu memiliki kuasa kerajaan dan jajahan serta adalah ketua tertinggi kerajaan Terengganu. Raja sahaja berkuasa melantik dan memecat menteri dan pegawai-pegawainya. Sultan ditegah membuat sebarang perjanjian untuk melepaskan kuasa negeri kepada kerajaan lain atau kepada bangsa Eropah. Seandainya dilakukan juga oleh Sultan, maka pemerintahannya tidak perlu ditaati lagi.

Undang-undang ini yang diberinama “Itqan al-Muluk Bi- Ta’dil al-Suluk” antaranya mengukuhkan pengistiharan Terengganu sebagai sebuah negeri Melayu Islam dengan peraturan dan undang-undang Islam. Secara langsung dan tegas untuk menolak campur-tangan British di Terengganu. W. Conlay sebagai wakil British yang datang ke Kuala Terengganu pada Julai 1909M tidak mampu berbuat apa-apa dan gagal mencampuri urusan pemerintahan Baginda ketika itu.

Dibawah ini penulis lampirkan sebahagian dari 'Undang-Undang bagi diri Kerajaan Terengganu' yang diguna pakai sehingga kini meskipun ada tambahan dan pindaan.
Secara jelas di sebut dalam fasal :51 mengenai ugama negeri Terengganu iaitu " Sesungguhnya telah disifatkan dan disebutkan dan ditetapkan selama-lamanya kerajaan Terengganu ini kerajaan Islamiyyah 'Melayuwiyyah' ialah yang dikatakan ugama negeri dan kerajaan"

No comments: