Sunday, June 6, 2010

MBPJ tidak lulus banyak premis judi

MBPJ tidak lulus banyak premis judi

JALAN YONG SHOOK LIN – Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyangkal dakwaan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang menuduh MBPJ meluluskan banyak premis perjudian di kawasan pentadbirannya.

Ahli Majlis MBPJ Zon 16, Latheefa Koya berkata, MBPJ tiada kuasa meluluskan premis perjudian sebaliknya kelulusan berkenaan dikeluarkan Kementerian Kewangan Malaysia. “Kenyataan yang dikeluarkan Perkasa satu tuduhan serius. “Kenyataan yang dibuat itu tidak benar sama sekali kerana MBPJ tiada kuasa meluluskan mana-mana premis perjudian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai pendirian 24 ahli majlis membantah lesen judi bola sepak yang dikeluarkan kerajaan sempena Piala Dunia 2010 Jun ini di Ibu Pejabat MBPJ, di sini semalam. Latheefa berkata, jika kerajaan meneruskan hasratnya itu, rakyat di negara ini akan menghabiskan masa, duit serta gaji hasil daripada titik peluh mereka ke meja perjudian. Katanya, tindakan meluluskan lesen judi bola itu hanya mendatangkan banyak keburukan kepada masyarakat negara ini.

“Kita membantah cadangan kerajaan mengeluarkan lesen judi bola sepak sempena Piala Dunia 2010 nanti kerana tidak membawa sebarang kebaikan kepada rakyat negara ini. “Sukan bola sepak adalah sukan nombor satu negara serta diminati semua peringkat umur. Jika lesen judi dikeluarkan, tidak mustahil pelajar sekolah turut terjebak dalam aktiviti perjudian,” katanya. Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Pengguna dan Daerah Petaling (Caps)

Shamsuddin Hassan berkata, jika kerajaan meluluskan lesen perjudian, dibimbangkan lebih ramai rakyat negara ini akan menjadi `penjudi tegar`. :Menurutnya, ia termasuk pelajar sekolah menengah dan penuntut institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang akan mula berjudi kerana mereka peminat bola sepak nombor satu di negara.

“Sebelum terlambat, kita berharap kerajaan dapat mempertimbangkan serta menolak unsur perjudian pada piala dunia demi menyelamatkan rakyat daripada terus terjebak dalam kancah perjudian. “Selain itu, kita juga bimbang akan ramai rakyat negara ini terjebak dengan ceti haram atau ah long,” katanya.

No comments: