Monday, June 7, 2010

PORT KAKI BOTOL DI SRI MANJA

Taman permainan jadi port kaki botol

SRI MANJA - Penduduk kawasan perumahan sekitar Jalan PJS3/50A di sini mendakwa kawasan taman permainan di situ menjadi port kaki mabuk dan golongan remaja melakukan aktiviti tidak bermoral.

Penduduk yang ditemui, Daud Ali, 40, berkata, kebiasaannya kaki botol akan berkumpul di kawasan itu pada waktu malam dan kebanyakannya merupakan orang luar. Menurutnya, golongan remaja pula sama ada menaiki motosikal mahupun kenderaan dilihat bukan sahaja melepak di taman permainan itu malah ada yang berani melakukan perbuatan kurang sopan tanpa mempedulikan keadaan sekeliling.

“Kaki botol yang datang bukan sahaja berkumpul, malah membuat bising sehingga mengganggu waktu tidur penduduk. Selain itu, ada golongan remaja melakukan maksiat di sini kerana keadaan taman permainan ini gelap pada waktu malam,” katanya ketika ditemui semalam.

Sementara itu, Tinjauan Sinar Harian mendapati lebih 10 botol minuman keras ditinggalkan berhampiran taman permainan tersebut. Malah, ada antara botol-botol kaca berkenaan sengaja dipecahkan dan sisanya jelas kelihatan bertaburan berhampiran siar pejalan kaki. Perkara ini turut mengundang kerisauan ibu bapa yang bimbang anak-anak mereka tercedera semasa bermain di situ.

Suri rumah, Zakiah Akhbar Khan, 31, ketika ditemui berkata, dia mahu pihak berwajib melakukan rondaan dan memantau keadaan sekitar taman permainan itu. Katanya, ia bagi memastikan perbuatan tidak disenangi penduduk dapat dibendung. “Setiap petang anak-anak penduduk akan bermain di taman permainan ini, malah ada juga penduduk dari taman perumahan berdekatan membawa anak masing-masing ke sini.

“Oleh itu, kita cukup bimbang dengan keselamatan kanak-kanak ini, manalah tahu ada yang tercedera terkena serpihan botol kaca yang bertaburan,” katanya. Pasang lampu elak kegiatan tidak bermoral.

Sementara itu seorang lagi penduduk yang ditemui, Norazman Zailani, 44, mahu pihak berwajib memasang lampu limpah di kawasan taman permainan terbabit. Katanya, ia bagi mengelakkan golongan remaja melakukan perbuatan tidak senonoh di situ. “Kita cadangkan supaya pihak berwajib memasang lampu limpah di taman permainan ini berikutan ia sering menjadi lokasi pasangan remaja melepak terutamanya di kawasan yang gelap. “Jika kawasan ini diterangi cahaya lampu, diharap golongan terbabit tidak melakukan perbuatan kurang sopan sehingga menyakitkan mata dan hati penduduk di sini,” katanya.
sINAR hARIAN 08/06/2010

No comments: